*our LOVE journey*

Daisypath Next Aniversary Ticker

Tuesday, March 24, 2009

cinta, tiada akhirnya...(3)

Aku membelek-belek telefon bimbit yang berada di dalam genggamanku ini. Telefon ini tidak secanggih telefon teman-teman sekuliahku dahulu, tidak berkamera, tiada juga bluetooth. Pendek kata, telefon di tanganku ini serba kekurangan. Tapi yang paling utama mengenai telefon ini adalah, nilainya. Ya! Nilainya. Bagiku, telefon ini tidak ternilai harganya. Meskipun emak berkali-kali menyuruh aku menjual telefon ini ke kedai telefon bagi mendapatkan telefon baru, tapi aku amat sayang pada telefon ini. Meskipun rupanya tidak secantik telefon milik sahabat-sahabatku yang lain, namun aku amat menyayanginya.

Sayang kerana inilah dia telefon yang menggerakkan aku jam 4 pagi sewaktu dia menghubungiku dari kejauhan. Sayang kerana telefon inilah yang aku beli dengan hasil titik peluhku yang pertama dahulu. Sayang kerana tanpa telefon yang tidak seberapa ini, aku dan dia mungkin sudah terputus hubungan! Ya, segala-galanya berkisar tentang telefon ini adalah kerana dirinya. Biar tiada siapa yang tahu, tapi aku tidak akan sekali-kali menjual telefon yang penuh dengan nilai-nilai sentimental ini.

Aku masih ingat lagi, aku baru pulang ke kampung halaman kerana cuti semester. Demamku sangat teruk, selsemaku tidak pulih-pulih dan rinduku sudah tidak tertanggung lagi. Tiba-tiba telefon ini berdering, menandakan ada panggilan masuk. Rupa-rupanya lelaki yang sedang amat kurindu menghubungiku dari bumi matahari terbit. Ah, kenangan itu tidak mungkin aku lupakan sama sekali. Sekalipun dia tidak mengingatinya, namun bagiku ia kenangan yang tidak mungkin aku lupakan buat seumur hidupku ini. Terlalu manis kerana panggilan itu adalah di saat aku amat menantikan panggilan darinya. Bagaikan dia mendengar hatiku ini menyeru namanya!

No comments:

Post a Comment